Blog - Pusat Rawatan Islam Ukhwah

Empat Aspek Kesihatan

“Ustaz, saya ni sakit apa sebenarnya?”

Soalan ini sering saya terima. Dan juga soalan, “Ustaz, saya ni kena gangguan ke? Sakit saya tak hilang-hilang”

Sebelum saya jawab soalan itu, anda kena tahu apakah yang menyebabkan anda sakit atau sihat.

Lihat kepada EMPAT aspek kesihatan manusia. Kesilapan manusia adalah apabila mereka selalu lihat dari satu aspek sahaja. Sedangkan, sekiranya anda ingin menjadi benar-benar sihat, anda perlulah sihat dalam keempat-empat aspek ini.

1. Fizikal

Anda akan tahu anda mempunyai masalah fizikal, apabila badan anda gagal berfungsi dengan baik.

Contohnya:
– Masalah berkenaan dengan sistem saraf atau tulang
– Masalah berkenaan dengan sistem endokrin : Diabetis, thyroid
– Kanser / tumor
– Lain-lain penyakit seperti demam, selesema, atau sakit badan

Anda akan sihat secara fizikal, apabila:
– Badan anda berfungsi secara normal dari luaran dan dalaman
– Tiada tanda-tanda penyakit yang jelas
– Sistem hormon anda teratur
– Tiada masalah untuk anda melakukan suatu aktiviti untuk tempoh masa yang lama

2. Emosi

Anda mempunyai masalah emosi, apabila:
– Anda sukar mengawal emosi anda
– Senang marah
– Tidak fleksibel dan sukar bertoleransi
– Senang menyalahkan orang lain

Anda sihat dari segi emosi, apabila:
– Anda lebih tenang menguruskan situasi
– Anda sukar untuk marah
– Boleh mengalah, fleksibel, dan tidak lekas menghukum

3. Mental

Tanda-tanda anda mempunyai masalah berkenaan mental/intelek anda:
– Selalu berfikir sesuatu yang tidak patut anda fikirkan
– Selalu membaca / berdamping dengan bahan bacaan yang tidak baik, berbanding dengan bacaan yang baik
– Sukar membuat keputusan berdasarkan logik
– Mempunyai simptom masalah mental seperti schizophrenia, bipolar disorder, selalu berhalusinasi

Mereka yang mempunyai mental yang sihat:
– Mereka tahu apa yang boleh dibaca, dan apa yang perlu dihindarkan
– Mempunyai logik yang kuat
– Rasional

4. Rohani / Spiritual

Tanda-tanda masalah kerohanian:
– Tidak mempercayai Tuhan / hilang keyakinan dengan Allah
– Sukar mempercayai orang lain
– Selalu rasa tersisih dan dipinggirkan
– Merasakan tidak disayangi orang lain

Orang yang kuat rohaninya:
– Sentiasa percayakan Allah dalam apa jua keadaan
– Percaya yang Allah adalah adil dan akan hantar bantuannya pada masa yang tepatcabang kesihatan

Kenapa Anda Wajib Kenali Empat Aspek Ini?

Untuk memudahkan perjalanan anda menuju kesihatan. Sangat ramai yang mencari penawar, tetapi tidak tahu mengenai masalah mereka.

Saya sendiri sudah jumpa ramai yang menganggap mereka ada masalah gangguan, sedangkan masalah mereka lebih kepada fizikal. Begitu juga yang menganggap mereka mempunyai masalah fizikal, dan berterusan melakukan rawatan fizikal, sehingga akhirnya tidak sembuh-sembuh. Rupa-rupanya dia lemah dari aspek yang lain (emosi, mental dan rohani), sehingga membantutkan penyembuhan penyakit fizikalnya.

Sebelum ni saya hanya fokus mengajar subjek Ruqyah Syar’iah. Dalam subjek itu, saya biasanya mengajar cara mengenali simptom-simptom terkena gangguan, dan juga cara melakukan rawatan Ruqyah untuk mengatasi masalah berkaitan gangguan.

Setelah setahun mengajar, saya dapati ada masalah dari silibus yang saya gunakan. Kerana saya tidak nampak ramai yang berubah. Hanya sedikit yang saya nampak mengalami perubahan ketara dalam kesihatan mereka.

Ia berpunca dari masalah yang saya ingin tekankan: Mereka tidak tahu apa masalah mereka. Benar, ruqyah adalah salah satu kaedah rawatan, tetapi apabila mereka mula mengabaikan aspek-aspek kesihatan yang lain, dan hanya tertumpu kepada ruqyah, mereka tetap menjadi tidak sihat.

Kenali Masalah Anda, Kunci Kepada Kesembuhan

Kemudian saya ubah pendekatan saya. Di dalam kursus ruqyah saya yang terbaru, saya lebih tumpukan kepada perkara ini – kenali dahulu apa masalah anda.

Saya arahkan kepada para peserta, nyatakan apakah masalah mereka dari empat aspek ini, dan susun mengikut keutamaan. Apakah masalah terbesar mereka, dan perancangan mereka bagaimana ingin menyelesaikan masalah mereka.

Alhamdulillah, setelah tamat kursus, respon yang diterima sangat memberangsangkan. Ramai bekas peserta kursus mula menghantar mesej kepada saya memberitahu berkenaan perubahan yang mendadak dalam kehidupan mereka.

Hubungkait Antara Empat Aspek Ini

Satu perkara yang agak penting apabila bercerita mengenai empat aspek kesihatan ini adalah berkenaan pertalian mereka antara satu sama lain.

Pernahkan anda lihat, seorang yang mempunyai masalah fizikal, biasanya mereka mempunyai masalah emosi? Dan juga biasakah anda melihat, mereka yang mengalami masalah kerohanian, sentiasa kelihatan sakit?

Ini kerana mereka saling berhubung kait, dan lemahnya salah satu, memberi peluang untuk masalah lain muncul.

Dan kesan ini ada juga kebaikannya, di mana anda boleh kuatkan aspek-aspek lain, untuk memastikan kesihatan anda secara kesuluruhan lebih baik.

Untuk memahami kesan ini, saya suka berikan contoh ini:

  1. Lihat kepada kisah Nabi Yaaqub A.S. Pada asalnya, beliau sihat walafiat, namun disebabkan kesedihan yang melampau (efek emosi), akhirnya kesihatan beliau mula terjejas dari segi fizikal. Bermula dari masalah penglihatan, lama kelamaan orang mula menganggap dia mempunyai masalah intelek (atau gila). Namun sebenarnya, dia masih lagi sihat. Masalah fizikal dan emosinya tidak berjaya mengganggu inteleknya. Ini kerana kuatnya beliau dalam aspek rohani. Berdasarkan kepercayaan dia kepada Allah s.w.t, dia tetap membuat keputusan yang tepat.
  2. Kisah Nabi Ayub A.S. Ujian berat kepada masalah fizikal beliau. Namun, tidak menyebabkan dia gagal dari segi emosi, rohani dan intelek. Dari segi rohani, betapa yakinnya dia kepada Allah, menyebabkan dia tidak pernah mengeluh. Dari segi emosi, dia tidak mudah menangis, kecewa dan tidak menyalahkan isterinya yang meninggalkannya. Dari segi intelek, dia tidak mengenakan hukuman berat kepada isterinya, kerana dari segi logik, dia sedar ujian yang isterinya alami juga agak berat.

Jadi Apa Yang Perlu dibuat Untuk Sihat?

Saya rumuskan kepada perkara berikut:

  1. Kenal pasti masalah kita berada dalam aspek mana, dan rancang bagaimana ingin menyelesaikan masalah tersebut. Susun mengikut prioriti.
  2. Kukuhkan aspek kesihatan lain supaya kita lebih bersedia dan memudahkan kita menyelesaikan masalah.
  3. Pastikan aspek rohani anda sentiasa berada di dalam kondisi terbaik. Tidak ada guna kita sihat dari aspek lain, tapi hubungan kita dengan Allah gagal. Kesihatan di dunia ini sementara, sedangkan kita mahu sihat selama-lamanya di syurga.

Berbalik kepada soalan pertama di atas, jawapannya “Ya, anda ada gangguan”. Tiada orang yang bebas dari gangguan. Tapi bukan itu yang anda perlu khuatirkan. Anda perlu fikirkan, “Apa masalah aku, dan bagaimana ingin selesaikannya”. Kalau ia lebih kepada masalah fizikal, fokus kepada rawatan fizikal, dan jadikan ruqyah atau

2

Hukum Memasang Ayat Ruqyah Dalam Kereta

Agak viral mengenai tulisan artikel yang melarang memasang ayat-ayat Ruqyah di dalam kereta.

Insya-Allah saya akan huraikan sedikit dan jelaskan mengenai salah faham yang berlaku.

1. Hukum Asal Membaca atau Memasang Ayat Ruqyah

Pada asalnya, hukumnya adalah sunat seperti mana hukum membaca dan memasang ayat al-Quran, kerana ayat-ayat Ruqyah terdiri dari ayat al-Quran juga.

2. Perubahan Status Satu Ibadah Mengikut Lokasi dan Tempat

Namun, hukumnya boleh berubah mengikut keadaan. Ibadah seperti bacaan al-Quran, solat dan puasa, ada ketikanya boleh menjadi haram mengikut waktu dan lokasi. Contohnya, bacaan al-Quran adalah haram dibaca di tandas dan oleh makmum sewaktu khatib membaca khutbah.

3. Hukum Membaca Ayat Al-Quran di dalam kenderaan.

Membaca al-Quran sewaktu di dalam kenderaan adalah harus. Berdasarkan hadis dari Abdullah bin Mughaffal r.a yang berkata,

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ وَهْوَ يَقْرَأُ عَلَى رَاحِلَتِهِ سُورَةَ الْفَتْحِ‏

“Aku melihat rasulullah s.a.w pada hari pmbebasan kota Mekkah dan beliau saat itu membaca surah al-Fath di atas tunggangannya” (Bukhari & Muslim)

Begitu juga hukumnya kepada ayat-ayat Ruqyah yang juga merupakan ayat-ayat al-Quran

4. Bagaimana Hukumnya Sekiranya dengan Membaca Al-Quran Itu Membahayakan Nyawa?

Menjaga nyawa adalah wajib, sedangkan membaca al-Quran atau Ruqyah itu adalah sunat yang sangat dituntut.

Sekiranya dikhuatiri boleh membahayakan nyawa, adalah lebih baik untuk menunda bacaan al-Quran atau Ruqyah tersebut dalam keadaan yang lebih baik.

Kenapa saya kata begini?

Kerana ada beberapa kes yang saya sendiri hadapi, apabila seseorang yang mudah kerasukan terkena gangguan jin, apabila mendengar bacaan Al-Quran di dalam keretanya, menyebabkan dia dirasuk dan hilang kawalan terhadap kenderaan, nyaris menyebabkan dia kemalangan.

Ada juga berlaku kepada penumpang yang kerasukan, bergegas cuba buka pintu kereta dan ingin melompat keluar dari kereta.

Dalam situasi ini, adalah baik sekiranya dia tangguhkan dulu amalan membaca atau mendengar ayat-ayat al-Quran di dalam kereta.

5. Salah Faham Yang Berlaku

Ada beberapa salah faham yang berlaku disebabkan penyebaran artikel sebegini, dan saya akan huraikan jawapan kepada setiap salah faham tersebut satu persatu.

i. Larangan membaca / mendengar ayat Ruqyah ini terkena kepada semua orang

Ia salah. Hanya minoriti manusia sahaja yang ada kecenderungan untuk kerasukan. Berapa peratusnya saya tidak tahu, kerana tidak pernah dibuat kajian oleh mana-mana pihak, namun ia cukup kecil.

Walaupun saya berurusan dengan banyak kes-kes gangguan, saya sampai boleh ingat dan bilang dengan tangan sahaja mereka yang ada potensi kerasukan.

Oleh itu, kenal pasti diri anda dulu, sama ada anda ada sejarah terkena kerasukan atau tidak. Kalau tidak ada, maka tiada masalah bagi anda.

ii. Ayat Ruqyah berbeza dengan Ayat Al-Quran

Dari banyak komen yang saya baca, ada juga yang sehingga menasihati, agar jangan dipasang ayat Ruqyah sahaja, tapi ayat al-Quran lain itu boleh.

Ini merupakan suatu yang keliru, kerana sama sahaja ayat Ruqyah, yang merupakan ayat Al-Quran juga. Dan sehingga ini, masih tiada panduan yang tepat boleh mengatakan ayat Al-Quran mana yang bukan ayat Ruqyah. Saya lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan seluruh atau hampir semua Al-Quran itu boleh digunakan untuk Ruqyah.

iii. Memasang Ayat Ruqyah Menganggu “Makhluk-makhluk Lain” di sepanjang perjalanan

Ada juga komentar yang sebegini, mengatakan bila kita membawa kenderaan yang dipasang ayat Ruqyah atau al-Quran, kita menganggu ciptaan Allah yang lain, menyebabkan jin-jin marah dan menganggu kita.

Sesungguhnya ini adalah tuduhan yang sangat berat, kerana Al-Quran itu digunakan untuk menarik minat manusia dan jin untuk belajar mengenai Islam. Bagaimana mungkin ayat al-Quran yang penuh dengan Rahmah dari Allah, kebaikan dan manfaat yang terlalu banyak, yang telah menyebabkan jutaan manusia dan jin memeluk agama Islam, menyebabkan bangsa jin itu berang bila mendengar al-Quran.

Kalau berlaku, ia bukanlah disebabkan al-Quran, tapi oleh peribadi seseorang itu sendiri. Yang juga, agak jarang. Malah musuh-musuh Islam pada zaman Rasulullah s.a.w juga amat kagum dengan al-Quran, meskipun mereka memilih untuk tidak menganut agama Islam.

Perhatikan firman Allah,

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku bahawa: telah mendengarkan sekumpulan jin (akan Al Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Quran yang menakjubkan” (Surah al-Jin, 1)

Adalah satu kezaliman mengatakan Al-Quran ini merupakan suatu yang memudaratkan. Walaupun kepada bangsa Jin, kerana ada beberapa kes dari hadis Nabi s.a.w memuji bangsa jin kerena kelembutan hati mereka terhadap al-Quran.

6. Kesimpulan

Kesimpulannya, anda boleh membaca atau mendengar ayat-ayat Ruqyah di dalam kenderaan, kecuali apabila anda antara mereka yang mudah kerasukan.

Sekiranya anda berada dalam golongan itu, jangan bersedih, dan anggaplah itu sebagai petunjuk dari Allah. Iaitu sebagai petanda yang anda sedang ada penyakit, dan berusahlah untuk merawatnya. Insya-Allah setelah sembuh, anda juga boleh mendengar dan membaca ayat-ayat Ruqyah di dalam kendereaan seperti orang lain.

Itulah yang saya biasanya lakukan. Saya tidak menjadikan larangan membaca ayat al-Quran di dalam kenderaan sebagai satu larangan yang kekal, tetapi hanya sebagai nasihat bersifat sementara. Saya juga menyarankan dia baiki amalan-amalan yang lain, berusaha hilangkan gangguan sepenuhnya, sehinggalah dia mampu mendengar atau membaca ayat al-Quran seperti biasa.

Dan bila dia mampu, ketahuilah, itu petanda yang cukup bagus bahawa dia sudah sembuh! Alhamdulillah.

Langgan Artikel daripada Ustaz Farhan

Anda suka ilmu yang dikongsi ini? Dapatkan artikel dan video terbaru yang akan dihantar ke emel anda secara PERCUMA.

1

Kursus Ruqyah Syar’iah 2016

Insya-Allah, saya akan anjurkan kursus Ruqyah Syar’iah pada bulan Oktober-Disember ini dan saya mengajak  anda semua untuk hadir kepada program tersebut :)

Format Baru

Sebelum ini, kursus yang saya anjurkan mengambil masa satu atau dua hari, dan kali ini saya ringkaskan supaya dapat disampaikan dalam 2 jam sahaja. Ini untuk menggalakkan lebih ramai hadir ke kursus seperti ini, kerana ramai yang sukar meluangkan masa satu atau dua hari penuh untuk menghadiri kursus.

Insya-Allah, di dalam kursus pendek ini saya cuba gunakannya untuk sampaikan ilmu praktikal yang terus boleh digunakan oleh para peserta.

Diadakan di Beberapa Lokasi

Untuk memudahkan para peserta menyertai program ini juga, insya-Allah saya akan anjurkan kursus ini di beberapa tempat serata Malaysia. Ibarat bout “road tour” satu Malaysia lah.

Sesi Konsultansi & Rawatan

Di samping kursus Ruqyah selama 2 jam, insya-Allah saya akan anjurkan sesi konsultasi dan rawatan bagi yang berkeinginan. Diutamakan kepada peserta kursus sahaja.

Bermakna, pada hari program, sekiranya ada yang ingin berjumpa saya setelah tamat kursus, insya-Allah akan dialu-alukan. Team saya juga akan turut serta, untuk membekalkan rawatan urutan, ruqyah dan bekam.

Sasaran Peserta

Sasaran saya adalah kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk belajar Ruqyah ini. Ilmu perubatan menggunakan Ruqyah Syar’iah adalah satu keperluan Fardhu Kifayah, kerana kepentingannya kepada orang ramai. Sekiranya lebih ramai yang mampu meruqyah diri sendiri dan ahli keluarga, insya-Allah akan membantu mengurangkan beban kepada para peruqyah dan ustaz di luar sana.

Kalau kita asyik fikir nak cari Ustaz bila terkena masalah, sampai bila tak akan selesai masalah. Dan ilmu yang dipelajari sebenarnya cukup mudah untuk diamalkan sendiri insya-Allah.

Tempoh Program

Insya-Allah saya akan cuba anjurkan kursus ini setiap minggu, cuma berbeza kawasan daripada bulan Oktober sehingga Disember tahun ini sahaja. Kalau diperlukan, mungkin akan dilanjutkan sehingga bulan Januari, kemudian setelah itu saya mungkin akan tidak menganjurkan program ini lagi.

Maklumat Program

Untuk pendaftaran atau maklumat mengenai program, boleh klik www.ukhwah.net/ruqyah. Di sana juga akan dimaklumkan mengenai jadual program dengan lebih terperinci, iaitu tarikh dan lokasi kursus seterusnya.

Mohon sebarkan mengenai program ini di Facebook anda. Ajak ahli keluarga dan kawan-kawan anda untuk turut serta. :)

Daftar Kursus Ruqyah Syar’iah
2

4 Cara Untuk Istiqamah Membaca Zikir Pagi & Petang

Assalamualaikum.

Di sini, saya ingin kongsikan beberapa cara yang boleh membantu kita semua istiqamah membaca zikir pagi & petang:

1. Sediakan waktu khas untuk anda membaca zikir pagi & petang

Sebagai contoh, setiap hari pada pukul 6.30-6.45 pagi, adalah masa anda membaca al-Quran dan zikir ini. Dan jangan tinggal.

Ini sesuai bagi mereka yang hidup berjadual, contohnya, pergi kerja 9.00 pagi 5.00 petang.

Contoh lain, terus baca selepas solat maghrib & solat subuh

Ini cara yang saya gemar, disebabkan jadual saya agak fleksibel, saya selalu peruntukkan dalam 10 min setiap kali selepas solat untuk membaca zikir-zikir selepas solat, dan juga zikir pagi & petang.

2. Mula menghafal zikir-zikir ini

Hafal sedikit demi sedikit, dan anda boleh manfaatkan pembacaan zikir ketika anda berjalan atau memandu. pada awal-awal membaca zikir ini, mungkin tak hafal lagi, tapi percayalah, lepas dah biasa bacanya setiap hari, kita akan mula hafal sedikit demi sedikit.

Dan yang mana kita hafal itu, kita boleh baca ketika mana kita travel atau bermusafir. Kebanyakan orang mungkin waktu pagi & petang dalam kereta mengharungi kesesakan lalu lintas. Masa ini adalah masa terbaik untuk berzikir.

3. Sentiasa berpesan-pesan antara ahli keluarga

Ingatkanlah kepada ahli keluarga lain, supaya mereka membaca zikir pagi & petang.

Biasanya selepas solat, saya akan tanya isteri saya, dah baca atau belum. Begitu juga anda, tanyalah ahli keluarga anda, sama ada mereka dah bacakan zikir ini atau belum. Pesan juga sama mereka supaya selalu tanya diri anda.

4. Bawalah buku zikir itu di mana-mana

Sebenarnya bila kita fikir elok-elok, kita akan dapati, banyak masa yang kita akan gunakan untuk menunggu. Menunggu tempahan makanan, menunggu giliran, menunggu tren dan lain-lain. Kalau kita tak hafal, maka saat inilah buku zikir itu membantu.

Kalau anda ada PDF, buka sahaja telefon itu, dan kalau anda ada buku, bacalah. :)

Semoga beramal!


Dapatkan Buku Zikir Pagi & Petang, sekiranya anda belum dapatkannya lagi:

Versi PDF : www.ukhwah.net/bukuzikirpdf
Versi Buku Poket  : http://www.ukhwah.net/bukuzikir

22

Amalkan Membaca Zikir Setiap Pagi & Petang

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum kepada para pembaca yang dikasihi sekalian.

Dalam artikel ini, saya ingin kongsikan beberapa kelebihan mengamalkan Zikir Pagi & Petang ini. Sebenarnya ada banyak yang kita boleh ambil dari buku-buku hadis mengenai saranan dan manfaat membaca zikir pagi & petang, tapi saya ingin fokuskan dulu kepada beberapa zikir sahaja dulu.

Bagi yang belum pernah dengar mengenai Zikir Pagi & Petang, ia sebenarnya kumpulan zikir harian yang disarankan oleh Nabi s.a.w. Salah satu himpunan zikir yang masyhur adalah Zikir Pagi & Petang yang diambil dari Kitab Hisnul Muslim karangan Syeikh Sa’id Ali Wahf Al-Qahtani. Bukan bermaksud hanya zikir ini sahaja diterima dan diguna pakai oleh Nabi s.a.w., tetapi  himpunan seperti ini memudahkan kita semua mengamalkannya tanpa was-was. Ini kerana sumbernya sudah ditapis dan zikirnya telah dipilih.

Untuk mengetahui status hadis dan kebaikan di sebalik zikir-zikir itu, insya-Allah akan ditulis di kemudian hari. Cuma sekarang, saya nak kongsikan mengenai satu zikir di antara zikir-zikir di dalam Buku Zikir Pagi & Petang, iaitu zikir:

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, Dia-lah yang berkuasa atas segala sesuatu.


Apakah kelebihan zikir ini?

Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهْوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ‏.‏ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ، كَانَتْ لَهُ عَدْلَ عَشْرِ رِقَابٍ، وَكُتِبَ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ، وَمُحِيَتْ عَنْهُ مِائَةُ سَيِّئَةٍ، وَكَانَتْ لَهُ حِرْزًا مِنَ الشَّيْطَانِ يَوْمَهُ ذَلِكَ، حَتَّى يُمْسِيَ، وَلَمْ يَأْتِ أَحَدٌ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ بِهِ إِلاَّ رَجُلٌ عَمِلَ أَكْثَرَ مِنْهُ

“Barangsiapa membaca dalam satu hari, ‘Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, Dia-lah yang berkuasa atas segala sesuatu‘, seratus kali, maka baginya (pahala) seperti orang yang membebaskan sepuluh orang budak, ditulis baginya seratus kebaikan, dihapuskan darinya seratus kejahatan, baginya perlindungan dari syaitan sepanjang hari itu sehingga petang, tidak ada seorang pun yang boleh menandingi amalannya tersebut, kecuali seseorang yang mengerjakannya (membacanya) lebih banyak dari itu” (Muttafaqun ‘Alaih)

Mari lihat satu persatu:

1. Pahala seperti membebaskan 10 orang budak.

Ini merupakan ganjaran yang sangat besar. Pada zaman sebelum kedatangan Islam, penghambaan masih lagi menjadi satu perkara yang sudah sebati dalam jiwa masyarakat Arab. Konsep penghambaan ini menjadikan manusia berbeza taraf antara pemilik dan hamba. Dan bagi seorang hamba, untuk melepaskan / menebus diri sendiri merupakan suatu yang sangat sukar.

Melepaskan seorang hamba ibarat melepaskan harta yang sangat berharga. Allah dan Rasul-Nya menggalakkan orang Islam untuk membebaskan hamba sahaya, dan menjadikan perbuatan membebaskan hamba sebagai kaffarah pelbagai perbuatan dosa seperti membunuh tanpa sengaja dan berjima’ di siang hari di bulan Ramadhan. Dan kaffarahnya baru 1 hamba, bukan 10 seperti dalam hadis di atas.

2. Dihapuskan 100 kejahatan, ditulis 100 kebaikan

Apa lagi yang kita mahu, kalau dosa-dosa yang kita lakukan dihapuskan begitu sahaja, bahkan diganti dengan pahala yang sangat banyak. Bayangkan kalau hari-hari macam ini, pasti akaun kita akan menjadi bersih dan penuh dengan kebaikan.

3. Dilindungi dari syaitan sepanjang hari

Perlindungan dari gangguan syaitan & sihir untuk hari itu. Tak mahu lagi?

Saya kongsikan beberapa andaian. Katalah, kita manusia biasa, siapa sahaja kan yang mahu sihir kita kan? Tapi kita jangan pandang rendah industri sihir di Malaysia. Berapa banyak bomoh-bomoh sihir dan mereka yang bertandang mengunjungi tukang-tukang sihir setiap hari? Siapa tahu bila pula giliran kita menjadi sasaran mereka? Maka bersegeralah memohon Allah s.w.t menjaga kita, kerana perlindungan Allah s.w.t itu sungguh kuat.

Kalau tidak risaukan sihir pun, ingatlah akan satu lagi bentuk gangguan, iaitu ‘ain. Kerana pandangan mata sahaja, seseorang itu boleh jatuh sakit, mati, atau terkena pelbagai musibah. Dan ia datang tanpa disangka-sangka. Anak yang sihat sempurna tubuh badan, tiba-tiba jatuh sakit mendadak. Rezeki yang mengalir baik tiba-tiba kecundang. Perancangan untuk berkahwin tiba-tiba tidak menjadi. Dan ini baru beberapa contoh dari pelbagai lagi situasi yang kita boleh hadapi kerana ‘ain.

Saya mahu kongsikan sebuah cerita, yang diceritakan kepada Syeikh Wahid Abdussalam Bali, pakar Ruqyah Syar’iah yang terkenal di dunia:

Seorang peruqyah pernah berdialog dengan jin yang merasuki seorang pesakit, dan jin tersebut mengugut akan merasuki peruqyah itu pula. Peruqyah itu mencabar jin itu, cubalah kalau boleh. Namun selang beberapa ketika, jin itu menangis, dan mengaku dia tidak mampu mengganggu peruqyah itu, kerana peruqyah itu telah membaca zikir di atas sebanyak 100x pada hari itu. Peruqyah itu lantas bertasbih memuji Allah dan membaca hadis di atas, mengakui akan benarnya apa yang dikatakan Rasulullah s.a.w.

Lihatlah betapa besar impaknya kepada kita bila mengamalkannya? Seorang tukang sihir tidak akan boleh mengapa-apakan kita sekiranya kita mengamalkan zikir ini setiap hari. La hawla wa la quwwata illa billah.

4. Mempunyai amalan yang paling baik, melainkan ada yang menandinginya dalam amalan tersebut.

Nak jadi hamba Allah yang paling baik amalannya? Baca sahaja zikir di atas. Tidak perlu membaca zikir 10,000x, 800x, 33,000 kali seperti yang diwar-warkan oleh tarikat-tarikat lain, cukup dengan 100x amalan zikir yang datang dari Rasulullah s.a.w, kita sudah boleh jadi antara yang terbaik. Maha suci Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


Amalan-amalan yang diajar Rasulullah s.a.w, tidaklah berat dan tidaklah membebankan. Cukup mudah dilaksanakan, cuma perlu dilakukan dengan berterusan sahaja.

Sekiranya kita fokus membaca zikir ini sahaja, ia mungkin akan mengambil maksimum masa kita antara 5-10 min sahaja. Tak lama, tapi ganjaran yang kita dapat sungguh besar. Dan ada beberapa lagi zikir yang mempunyai kebaikan dan manfaat yang besar selain zikir ini, dan ianya boleh didapati dalam Buku Zikir Pagi & Petang.

Download Buku Zikir Pagi & Petang, sekiranya anda belum download lagi:

Download Buku Zikir Pagi Petang